Sunday, January 4, 2009

Pantun Melayu Asli




Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.


Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman.

Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19.

Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan bengkel tentangnya juga terus diadakan.


Bentuk Pantun :

Umumnya, pantun Melayu terbina dalam bentuk berangkap, mengandungi bahagian pembayang/sampiran dan maksud. Bentuk pantun terbahagi kepada rangkap pantun dua baris/kerat, empat baris/kerat, enam baris/kerat, lapan baris/kerat, dua belas baris/kerat dan tiga puluh baris/kerat.


Rima pantun pula tersusun dalam bentuk yang tetap seperti ab/ab atau abc/abc dan seterusnya. Walau bagaimanapun, penciptaan pantun di Alam Melayu memperlihatkan pelbagai ciri kreativiti masyarakat setempat hingga melahirkan beberapa ciri kelonggaran dalam bentuk dan rima pantun yang dihasilkan. Rujuk Harun Mat Piah, 1989, Puisi Melayu Tradisional, untuk huraian terperinci tentang bentuk pantun Melayu.



Pantun Dua Baris

Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.

Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan merana.



Pantun Empat Baris

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Sebab kasih saya turutkan.




Pantun Enam Baris

Apa didapat orang memburu,
Dapat rusa jantan betina,
Sedang bersembunyi di celah batu;
Bila mendapat bunga yang baru,
Bunga yang lama tiada berguna,
Adat dunia sudah begitu.

Bukan cempedak kami katakan,
Buah delima dalam pasu,
Pisau lipat baru diasah;
Bukankah telah kami katakan,
Pandang pertama cinta palsu,
Tiada dapat dibawa bersusah.



[Petikan daripada Kumpulan Pantun Melayu susunan Zainal Abidin Bakar, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1991, halaman 319]


Pantun Lapan Baris

Rumpun rotan di kota alam,
Ditebang dibelah empat,
Tumbuh serumpun di seberang,
Selasih muara sungai;
Penglihatan usah diperdalam,
Pandang nan usah dipertepat,
Adik di dalam tangan orang,
Maksud rasa tak akan sampai.



[Petikan daripada Pantun Melayu, Balai Pustaka, 1958, halaman 68]


Pantun Dua Belas Baris

Anak jintayu dari hulu,
Disambar ombak Laut Cina,
Dibawa terbang ke perahu,
Hinggap minum ke muara,
Anak ikan berkeliaran;
Kamilah tahu dari dahulu,
Adik jauhari bijaksana,
Membuhul tidak membeku,
Mengulas tidak mengesan,
Meratap langit dengan bicara,
Bumi tidak ketirisan.


Rotan sepatah dua patah,
Tarik kerakap batang padi,
Dibawa Sutan dari Judah,
Padi yang jangan digemparkan,
Kalau gempar antara gugur,
Bila gugur masuk perigi;
Tuan di Mekah di Madinah,
Naik akhirat batu haji,
Tegak berdiri Rasulullah,
Kami yang jangan dilupakan,
Kalau lupa antara tidur,
Dalam tidur menjadi mimpi.



[Petikan daripada Puisi Melayu Tradisi susunan Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, Penerbit Fajar Bakti, 1985, halaman 20]


Pantun Berkait

Angsana berpucuk di atas batu,
Pucuk digangsa beribu-ribuan;
Ada bunga di naung batu,
Kuntumnya kaca tangkainya embun.

Pucuk digangsa beribu-ribuan,
Kembang diuca balik beroleh;
Kuntumnya kaca tangkainya embun,
Dipandang sahaja diambil tak boleh.

Kembang diuca balik beroleh,
Tambang garam di dalam sekoci;
Dipandang sahaja diambil tak boleh,
Bertambah geram di dalam hati.


[Petikan daripada Warisan Puisi Melayu susunan Mohd. Taib Osman, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1975, halaman 28]

Laman web Pantun : http://www.usm.my/pantun/

No comments:

Post a Comment